Ergonomik untuk komputer riba
Untuk entri komputer ergonomik, aku lebih tekankan tip-tip ergonomik untuk sebuah komputer peribadi meja. Tak boleh tidak aku harus akui komuniti pemilik komputer riba juga merupakan salah satu golongan yang acapkali tertekan dengan komputer riba milik mereka. Apa tidaknya, memang aku sendiri kurang gemar menggunakan komputer riba, atas alasan yang sama. Walaupun komputer riba ini mudah alih, namun ada banyak aspek yang menunjukkan betapa komputer riba juga ada kelemahannya.
Umum melihat sebuah laptop sebagai keperluan, dan sebagai seorang rakyat Malaysia memang menjadi tabiat kita untuk mencari sebuah laptop mampu milik. Tak salah untuk memilih sebuah laptop sederhana. Dalam lingkungan RM2000, sebuah laptop mampu dimiliki. Dan memang antara laptop terlaris, adalah laptop dikalangan harga RM2000. Dan dalam entri aku ini juga aku akan ulas kelemahan laptop sederhana ini.
Berat adalah satu faktor yang menidakkan pergerakan sesebuah laptop itu. Rata-rata laptop adalah seberat 2.7kg. Itu belum campur dengan berat pengecas, dan segala barang yang anda akan muatkan dalam satu beg yang diberi secara percuma itu. OK, mungkin 2.7kg itu nampak ringan. Cubalah dahulu, berdiri selama sepuluh minit dengan memegang laptop itu. Pasti terasa juga bebannya. Lama juga aku berfikir untuk mencari cara mengatasi masalah ini. Secara fiziknya, tak banyak yang boleh kita buat. Cadangan terbaik ialah, beli beg yang mahal sedikit, dan kalau boleh beg galas. Waktu nak beli tu, bawa bersama laptop anda dan cuba sendiri yang mana paling selesa dipakai. Ambil pertimbangan tempat-tempat simpanan barang-barang lain seperti tetikus dan pengecas. Kelebihan beg galas belakang ini ialah, semasa berdiri berat laptop itu akan jatuh bersama dengan berat badan anda ke bawah. Dan ada sesetengah rekabentuk itu tidak membebankan bahu yang menggalas dan untuk ini, anda perlu rasa sendiri.
Tetikus, mesti guna. Touchpad adalah salah dari segi ergonomik. Beban anda bertambah apabila anda terpaksa menggerakkan siku dengan banyak. Semua ini aku dah sentuh dalam entri sebelum ini. Kalau anda rasa ada bajet lebih, dapatkan tetikus tanpa wayar. Sebab apa, wayar yang serabut memang melambatkan masa anda untuk memulakan kerja.
Skrin. Panel laptop mesti dilaras mengikut tinggi anda. Kecerahan mestilah sepadan dengan warna persekitara dan sila pastikan anda membelakangi sumber cahaya yang berlebihan seperti silauan matahari dari pantulan tingkap atau lampu dinding. Jika tidak mata kita akan menanggung beban. Oh ya. Satu tip mudah untuk mengetahui anda telah mengaplikasikan pelarasan yang terbaik. Untuk orang yang rabun, anda akan selalu memakai cermin mata. Cuba laraskan resolusi anda,kecerahan, jarak dengan skrin sehinggakan anda tak perlu memakai cermin mata lagi semasa menggunakan laptop.
Lain-lain aspek. Tabiat semulajadi orang kita. Tak suka cas bateri laptop. Dah nazak mulalah terkial-kial nak cari palam sana sini. Buang masa sahaja. Dahlah tu, nilai mobiliti laptop itu dah terbatas oleh panjang kabel tu. Kadang-kadang jarak meja dan palam jauh, sampaikan kabel tu orang datang boleh buat main limbo rock. Lain kali sebelum guna, pastikan dah sedia bateri penuh. Sekurang-kurangnya masa bateri nak habis tu, boleh juga jadi peringatan yang kita ni dah lama sangat menggunakan laptop.
Cukuplah dahulu untuk kali ini. Seterusnya aku akan tulis berkenaan Pengurusan Terma.




